20 September 2010

Nik Aziz dibidas tidak bangga berbangsa Melayu

KOTA BHARU 19 Sept. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dibidas kerana tidak bangga berbangsa Melayu sedangkan Islam tidak melarang umatnya menyebut tentang bangsa asalkan ia tidak melebihi tahap agama suci itu.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad (gambar) berkata, Rasulullah tidak pernah menghalang umatnya menyebut tentang bangsa malah baginda berbangga sebagai bangsa Quraisy apabila menyebut 'ana Quraisy'.

"Baginda mengaku berbangsa Quraisy tetapi tidak bermakna baginda memperbesar-besarkan perkara itu, yang penting ialah Islam.

Tidak ada masalah dengan bangsa sebab itu dalam al-Quran, Allah berfirman manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa supaya dapat kenal-mengenal. Maknanya Allah jadikan bangsa, itu fakta.

"Saya tidak tahu apa maksud dia (Nik Abdul Aziz) kata tidak bangga dengan Melayu. Memanglah kita tidak setuju kalau bangsa itu dilebihkan tetapi tidak salah (menyebut bangsa) sebab Rasulullah sendiri kata 'ana Quraisy'," katanya pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan tidak bangga berbangsa Melayu pada ketika terdapat usaha cuba menghapuskan keistimewaan hak orang Melayu.

Md. Alwi yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata, kejayaan yang dinikmati hari ini disebabkan hak-hak keistimewaan Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

"Saya rasa Nik Abdul Aziz terlupa apa yang dia, anak-anak dia, orang Pas dan Melayu dapat hari ini adalah kerana Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak keistimewaan Melayu dan pada masa yang sama juga Islam dapat berkembang sehingga hari ini.

"Ini adalah perjanjian tetapi pada masa yang sama hak kaum lain tidak akan terhalang. Dasar itu memang tepat sebagai timbal balas kepada apa yang orang Melayu berikan sebelum merdeka dahulu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Nik Abdul Aziz hanya mengeluarkan kenyataan politik apabila menyerahkan sepenuhnya kepada Pas untuk menentukan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Kalau betul dia tidak mahu bertanding dia kena kata sudah tidak mahu kerana dia lebih uzur daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," katanya.

Kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak bangga berbangsa Melayu menunjukkan anutan politik sebenar Menteri Besar Kelantan itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pengakuan itu bukannya mengejutkan kerana Nik Abdul Aziz sebelum ini telah beberapa kali membuat kenyataan berkaitan agama berbaur kepentingan politik kepartian.

Katanya, umat Islam di negara ini pastinya tidak akan melupakan tindakan Mursyidul Am Pas itu yang kerap 'menghalalkan' tindakan pemimpin DAP bagi menjaga hubungan Pas dengan parti pakatan pembangkang yang lain.

"Jadi tidaklah perlu kita terkejut dengan kenyataan berkaitan bangsa Melayu, ia hanyalah untuk menarik undi orang bukan Melayu.

"Dia rasa sudah berjaya memperdayakan DAP dengan menarik perhatian orang Cina sedangkan dia tidak sedar DAP sedang mentertawakannya kerana banyak telatahnya mengundang bencana kepada bangsa Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam dialog bersama wartawan di Kota Bharu semalam, Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata, beliau tidak bangga berbangsa Melayu kerana bangsa itu datang secara automatik dan dalam Islam tiada bangsa yang lebih dan jika ada pun, ia adalah bangsa Arab.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Nik Abdul Aziz sepatutnya berhati-hati apabila membuat kenyataan kerana dikhuatiri ia mengundang sikap bongkak, takbur dan kufur.

Katanya, Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa untuk mengenali antara satu sama lain sebagaimana terkandung dalam ayat ke-13, surah Al-Hujurat.

"Manusia yang tidak kenal bangsanya adalah manusia yang tidak mengenali dirinya dan ia membawa kepada tidak mengenal Allah.

"Dia sepatutnya menyelami dan mendalami ayat al-Quran sebelum mengeluarkan kata-kata supaya tidak berlaku bidaah yang memusnahkan ibadah dan memesongkan tauhid diri dan ummah," tegasnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan