14 September 2010

Idea Sebenar Dr. Mahathir Mengenai Dinar Emas

Oleh : Malaysia Insider!

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak pernah mencadangkan agar dinar emas digunakan sebagai mata wang harian.



Mata wang dinar dan dirham menerima respons menggalakkan dengan transaksi bernilai RM1.5 juta disempurnakan dalam tiga minggu pertama.

Sebaliknya menurut Dr Mahathir, beliau hanya mengesyorkan agar dinar emas digunakan untuk dagangan antarabangsa.

"Saya telah cadang dinar emas digunakan untuk dagangan antarabangsa sahaja.

"Saya tidak pernah cadang dinar emas diguna sebagai matawang mana-mana negara untuk kegunaan harian," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya.

Awal bulan ini, Kelantan Golden Trade (KGT), anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan berkata, respons terhadap mata wang syariah dinar dan dirham sangat menggalakkan dengan jualan RM1.5 juta telah disempurnakan dalam tempoh tiga minggu pertama sejak diperkenalkan.

Sehubungan itu, KGT bercadang untuk memperkenalkan mata wang tersebut di Selangor dan Kedah yang diterajui Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pegawai Eksekutif KGT, Umar Ibrahim Vadillo berkata, pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Selangor dan Kedah untuk menggalakkan penggunaan mata wang dinar dan dirham di kedua-dua negeri itu.

Selain itu KGT juga bercadang untuk memperkenalkan mata wang syariah itu di Acheh.

Umar berkata, pihak berkuasa agama Islam Selangor juga menunjukkan sokongan mereka terhadap penggunaan dinar dan dirham untuk membayar zakat.

Awal minggu lepas kerajaan pusat berkata tiada masalah jika dinar emas dan dirham perak yang diperkenalkan kerajaan Kelantan hanya untuk disimpan bukan bagi diniaga di pasaran terbuka.

Kelantan memperkenalkan dinar dan dirham sebagai transaksi yang akan digunakan lebih 100 peniaga termasuk sebagai gaji kepada kakitangan kerajaan Kelantan.

Terdapat lima saiz yang dijual dengan harga berbeza setiap hari mengikut nilai emas semasa dan hari ini harga bagi setengah dinar ialah RM296, satu dinar (RM592), dua dinar (RM1,184), lima dinar (RM2,960) dan lapan dinar (RM4,736).

"Manakala bagi nilai dirham pula ialah satu dirham bernilai RM13, dua dirham (RM26), lima dirham (RM65), 10 dirham (RM130) dan 20 dirham (RM260)," katanya.



Kata Dr Mahathir, walaupun harga emas lebih stabil daripada mata wang, tetapi nilai emas juga bergerak.

"Semasa Perjanjian Brettonwoods satu auns emas bernilai AS$35. Tetapi sekarang satu auns emas bernilai AS$1,300.

"Ini bermakna nilai Dolar telah jatuh degan teruk. Namun untuk dagangan antarabangsa dolar masih diguna," kata beliau.

Beliau berkata jika satu syiling emas diberi nilai RM1 hari ini umpamanya dan kemudian nilai emas meningkat, maka sudah tentu pemilik syiling emas tidak akan gunanya untuk membeli-belah dengan bernilai satu ringgit.

"Mereka akan guna wang kertas satu ringgit. Syiling emas akan disimpan.

"Lama-kelamaan semua dinar emas yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa akan hilang dari pasaran.

"Walau banyak mana sekali pun pihak berkuasa mengeluar dinar emas akhirnya akan habis emas yang disimpan," kata beliau dengan merujuk kepada apa yang berlaku pada Amerika Syarikat yang pada satu masa memiliki 80 peratus daripada simpanan emas dunia.

"Mekanisme yang lain akan diguna untuk dagangan antarabangsa dengan dinar emas.

"Simpanan mata wang emas tidak perlu dalam bentuk syiling tetapi sebagai bata atau jongkong emas yang nilai-nilai akan mengikut harga emas dalam pasaran.

"Bayaran untuk dagangan akan dibuat oleh bank pusat setelah dihitung nilai eksport dan nilai import antara dua negara.

"Jika import melebihi eksport maka negara berkenaan akan bayar dengan nota kredit bersamaan jumlah nilai emas sebanyak kelebihan nilai import tolak nilai eksport," katanya.

Dr Mahathir menambah jika pada bulan hadapan eksportnya ke negara berkenaan melebihi nilai import maka bayaran untuk kelebihan ini boleh dibuat dengan nota kredit bulan lepas.



"Dengan cara ini tidak ada keperluan membayar dengan emas walaupun emas menentukan nilai barangan yang didagangkan. Hanya bayaran dibuat untuk lebih atau kurangnya eksport dengan import secara total dengan negara-negara berkenaan tiap bulan atau minggu.

"Jika nilai import adalah sama dengan eksport, bayaran tidak perlu dibuat. Ia menjadi dagangan secara barter," kata bekas menteri kewangan ini.

Dr Mahathir juga mengulangi bahawa dengan menggunakan emas untuk menentukan nilai dagangan, dolar Amerika yang jelas tidak stabil tidak perlu digunakan lagi.

"Permainan oleh penyangak mata wang juga akan terhenti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan