28 November 2010

Tenaga Nuklear : Manfaat khazanah uranium

Oleh ADHAM SHADAN & MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Stesen penjana nuklear
NUKLEAR sering diberikan konotasi negatif. Kita menggambarkan kemusnahan dan peperangan. Minda pantas berimaginasi letupan besar yang meranapkan sebuah kota besar sehingga ia menjadi padang jarak padang tekukur. Mayat-mayat tak berdosa yang bergelimpangan bagai daun di makan ulat.

Peristiwa bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun pada tahun 1945 lazim menjadi rujukan.

Penerima-penerima Anugerah Nobel Keamanan semasa berhimpun dalam satu upacara memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi pengeboman Hiroshima 14 November lalu juga melaungkan ritma negatif tentangnya: “Tolak senjata nuklear.”

Selain malapetaka di Hiroshima, insiden kebocoran reaktor nuklear di Three Mile Islands, Amerika Syarikat (AS) pada 1979, Chernobyl, Ukraine (1986) dan Tokai Mura, Jepun (1999) bagai menghitamkan lagi noda nuklear. Peristiwa Chernobyl menyaksikan seramai 350,400 orang yang mendiami kawasan berhampiran reaktor nuklear itu terpaksa dipindahkan dari kawasan yang tercemar dengan sinar radioaktif.

Tenaga

Pejuang kedamaian, aktivis pengguna dan pencinta alam antara pihak yang menzahirkan penolakan atau kekhuatiran terhadap nuklear.

Reaksi global terhadap nuklear membuatkan kita di negara ini melihatnya sebagai satu yang berbahaya secara total. Kenyataannya begitukah?

Adakah ia hanya berkenaan senjata perang dan tidak mampu menawarkan manfaat?

Nuklear berasaskan uranium seperti juga galian-galian lain yang sebenarnya boleh membawa kebaikan tetapi disalahgunakan untuk tujuan kemusnahan. Nuklear yang merujuk kepada inti atau nukleus atom mampu menjana tenaga dan barang kali salah satu penyelesian kepada masalah umat manusia apabila sumber utama tenaga elektrik terutama bahan api fosil seperti petroleum dijangka habis satu hari nanti.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Jepun dan Korea Selatan ialah model negara yang berjaya dalam penggunaan nuklear sebagai sumber tenaga elektrik. Kaedah loji jana kuasa nuklear yang bertindak dengan pembelahan nukleus Uranium U-235 dapat menghasilkan tenaga haba untuk mendidihkan air menjadi wap dan seterusnya memutarkan turbin menjana elektrik.

Model stesen janakuasa nuklear.

Ironinya, Jepun yang pernah lumpuh akibat bom atom banyak bergantung kepada loji jana kuasa nuklear. Begitu juga dengan Korea Selatan. Sebelum penggunaan tenaga nuklear pada 1951, pendapatan Keluaran Dalam Negara (GNP ) negara itu berada pada tangga ke-159 dunia namun ia melonjak ke kedudukan 17 pada 1997.

Lebih menarik, kos bayaran tenaga elektrik di Korea dan Jepun yang menggunakan teknologi nuklear tidak pernah berubah sejak 30 tahun lalu.

Menjelaskan dengan terperinci mengenai nuklear, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Teknikal Agensi Nuklear Malaysia (Nuclear Malaysia), Dr. Muhd. Nur Muhd. Yunus memberitahu, tenaga nuklear mampu menjana ekonomi negara.

Ketam bersaiz besar

“Jepun yang memulakan loji jana kuasa nuklear sejurus selepas Perang Dunia Kedua mampu menjadi negara maju. Malah, sebuah loji jana kuasa nuklear yang terdapat di Mihama, Jepun menjadikan daerah itu maju dengan industri pelancongan perikanan,” katanya sambil memberitahu terdapat 14 stesen jana kuasa nuklear di Jepun.

Stesen janakuasa nuklear Mihama, Jepun
Tambahnya, loji jana kuasa nuklear itu menyebabkan Mihama menjadi kawasan teluk dan secara geografinya menjadikan kawasan itu dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan selain hidupan marin lain. Bilangan penduduk juga bertambah manakala hotel dan resort berkembang dengan pantas. Kawasan itu terkenal dengan ketam bersaiz besar.

“Lebih mengejutkan, penduduk di situ mempunyai jangka hayat kedua terpanjang di Jepun di sebalik dakwaan loji jana kuasa nuklear menyebabkan penduduk sekitar loji itu pendek umur,” katanya.

Tenaga murah

Muhd. Nur menjelaskan, tenaga nuklear tidak berbahaya selain menjimatkan khususnya untuk penghasilan tenaga elektrik. Menceritakan kelebihan tenaga nuklear untuk menjana elektrik berbanding kaedah lain, Muhd. Nur memberitahu, secara relatifnya ia lebih murah.

“Kosnya hanya sebanyak 20 sen bagi satu kilowatt jam berbanding kaedah fosil atau hidro. Import elektrik dari Bakun melalui kabel bawah laut dianggarkan pada 21 hingga 36 sen kWj (tanpa subsidi kerajaan),” ujarnya.

Tambah Muhd. Nur, di sebalik retorik tenaga nuklear mengeluarkan gas rumah hijau, tenaga itu sebenarnya mengeluarkan terlalu sedikit gas rumah hijau berbanding teknologi lain.

Tambahnya, hasil buangan sisa nuklear lebih sedikit berbanding jana kuasa elektrik konvensional.

“Keseluruhan rantaian bagi penjanaan kuasa nuklear hanya menghasilkan 1 hingga 6 gram karbon bagi setiap kilowatt jam elektrik yang dijana. Sedangkan rantaian penjanaan elektrik berasaskan minyak, arang batu atau gas asli menghasilkan sehingga 60 hingga 460 gram karbon dikeluarkan walaupun jana kuasa dilengkapi kemudahan pengurangan karbon,” katanya.

Menjelaskan keistimewaan nuklear dari sudut teknologi, Muhd. Nur menjelaskan kapal selam yang menggunakan tenaga nuklear mampu bertahan sehingga 18 bulan. Di Emiryah Arab Bersatu (UAE), pihak berkuasa negara itu sedang giat mengkaji tenaga nuklear untuk menyuling air laut.

Armada Amerika Syarikat, USS George Washington menggunakan bahan api berasaskan nukelar


“Mereka menubuhkan universiti khusus untuk kajian tersebut selain melakukan kajian terhadap air laut yang digunakan oleh rektor nuklear boleh dijadikan air minuman,” katanya.

Muhd. Nur memberitahu, Malaysia sedang menuju untuk memiliki stesen jana kuasa nuklear untuk menjana elektrik pada 2021.

“Kajian dilakukan secara serius sejak 2005 tetapi orang awam perlu menyokongnya. Jika semuanya berjalan dengan baik kita boleh merealisasikannya lebih awal,” katanya.

Relatifnya, negara memerlukan empat hingga enam peratus sumber nuklear peringkat awal dengan kos lebih RM4 billion untuk loji berkuasa 1,000 MW.

“Vietnam yang masih mundur kini sudah mendahului kita dari segi persiapan ke arah pembinaan loji nuklear dengan merancang membina 13 loji nuklear,” ujarnya.

Karbon dioksida

Profesor di Jabatan Nuklear dan Kejuruteraan Kuantum, Institut Termaju Sains dan Teknologi Korea (KAIST), Jong H Kim memberitahu, dunia kini menghadapi masalah tenaga, persekitaran dan ekonomi manakala pengeluaran karbon dioksida yang banyak menjejaskan kesihatan selain pengurangan sumber fosil seperti minyak, arang batu dan gas asli.

“Di sebalik itu, satu kilogram (kg) uranium mampu menjana tenaga elektrik bersamaan dengan 9,000 tong minyak atau 3,000 tan arang,” katanya.

Ujarnya lagi, simpanan minyak hanya terhad untuk 42 tahun, gas asli 60 tahun, arang batu 133 tahun tetapi uranium untuk menghasilkan elektrik mampu bertahan sehingga 241 tahun.

“Malah, teknologi nuklear juga merangsang teknologi baru yang lain dan berkeupayaan tinggi.,” katanya.

23 November 2010

Survival Melayu di Tanah Sendiri

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 membuktikan dengan jelas perbezaan sistem nilai antara bangsa Melayu dengan kaum lain. Walaupun kedua-dua bangsa mendominasi kedua-dua pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat ia menterjemahkan sistem nilai yang berbeza.

Bangsa Melayu sinonim dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu dan tradisi muafakat sejak berkurun. Bangsa Cina pula sentiasa berusaha dan tekun untuk membangunkan ekonomi dan menggunakan kuasa politik untuk kepentingan perusahaan.

Melayu dalam UMNO, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diyakini masih tebal dengan jiwa tradisional walaupun terpaksa bertindak untuk melegakan perasaan rakan mereka dalam gabungan siasah. Jika adapun Melayu yang sanggup menuturkan sembah derhaka, tindakan mereka sekadar melunaskan kemarahan peribadi apabila hajat siasah tergendala.

Ada juga Melayu yang memegang kuasa sanggup meleburkan bahasa dan adat resam sendiri kerana memikirkan rakan gabungan yang sentiasa mengharapkan sikap terbuka sebelah pihak, sedangkan pihak lain begitu rakus memainkan isu perkauman. Keterbukaan Melayu ada masanya merugikan bangsa sendiri.

Kelemahan ketara bangsa Melayu adalah terlalu ghairah mengumpul pengikut, sedangkan pihak lain bertindak mengambil kesempatan siasah untuk mencipta peluang perniagaan dan perdagangan. Keghairahan mengumpul pengikut juga menjadi dorongan seseorang Melayu untuk kekal berkuasa, mencari pengaruh dan mengumpul penyokong yang kian bertambah.

Pada masa sama mereka lupa untuk membantu pengikutnya mempunyai nilai ekonomi, menyebabkan agihan kekayaan bangsa Melayu tidak merata. Hanya segelintir Melayu berjaya dan yang terbanyak adalah Melayu yang masih mengharapkan subsidi dan naungan pemerintah untuk berjaya dalam sesuatu bidang. Kesannya, lahirlah Melayu yang berfikiran jumud, taklid dan pengikut pendapat lain tanpa sebarang pertimbangan akal.

Kesibukan mengumpul pengikut juga mendorong Melayu bergeser sesama sendiri kerana menggunakan formula siasah untuk berkuasa atau mengekalkan kekuasaan. Pergeseran sesama Melayu mendorong pihak lain mengambil kesempatan seperti berlaku pada pilihan raya umum lalu.

Sejak Parameswara membangunkan kesultanan Melayu Melaka pada 1403, tradisi mencipta pengikut dan pengaruh begitu tebal dalam sejarah Melayu. Pihak istana mendapat laba daripada kesetiaan rakyat. Raja dibantu Bendahara dan Temenggong menguruskan pentadbiran. Rakyat yang setia sentiasa tidak mampu berfikir dan mendapat peluang ekonomi. Kesannya, segelintir mencapai kejayaan dan terbanyak menerima kegagalan hidup.

Berbeza kaum Cina tidak kira MCA, GERAKAN, DAP sistem naungan ekonomi berpaksi sejak abad ke-19 ketika penjajah British membawa mereka ke kawasan perlombongan di Tanah Melayu. Pendatang dari selatan China diarah bekerja di kawasan lombong dan bijak mempelajari nilai tempatan menyebabkan mereka selesa untuk terus tinggal di negara ini walaupun penjajah kembali ke British menjelang 1957. Keturunan mereka bijak memanfaatkan kesempatan daripada golongan pekerja kepada pencipta pekerjaan.

Kejayaan mempelajari dan menerima nilai tempatan serta diadunkan dengan cara hidup positif, membantu bangsa Cina membina sistem kongsi yang mengutamakan kepentingan kecinaan sehingga kini.

Mereka mungkin bergaduh dan bergasak mengenai ideologi politik, namun mustahil untuk mereka meninggalkan perusahaan dan mencipta peluang ekonomi untuk kaum sendiri. Isu pendidikan dan peluang ekonomi sentiasa mendominasi pemikiran kaum Cina kerana mereka sedar kedua-duanya mempunyai paksi untuk menaungi siasah pada masa panjang.

Kita jarang menemui kaum Cina yang kandas perniagaan kerana sukar menyediakan modal. Sistem kongsi memberi peluang sesiapa saja mencipta kekayaan asalkan rajin berusaha dan tidak segan menerima strategi pengurusan perniagaan yang berjaya.

Berbeza dengan Melayu, isu politik sering menjadi kerenah yang merenggangkan, subsidi baja padi menjadi duri dalam daging di kawasan pertanian. Bantuan mangsa banjir dinafikan kerana perbezaan fahaman. Pentadbir negeri berbeza dengan Pusat menimbulkan kekalutan sesama sendiri. Isu pengaruh dan kekuasaan peribadi sentiasa menjadi belenggu yang melelahkan. Melayu bergaduh sesama sendiri, hatta di dalam sesebuah pertubuhan pun mereka tidak sekata dan melompat parti.

Perseteruan demi perseteruan sesama Melayu menjadi opera lunak yang dipertontonkan pihak lain. Melayu bergelut mencari pengaruh dan pengikut, Pihak lain lenang mengaut laba ekonomi kerana kebersamaan berfikir dan bertindak!.

19 November 2010

DAP, Lim Guan Eng dan 13 Mei 1969

Oleh Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah (Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya)

SEKIRANYA Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak tahu, maka dia perlu diberitahu bahawa selain Peristiwa 13 Mei 1969, semenjak selepas Perang Dunia Kedua, di Semenanjung Tanah Melayu ini telah berlaku beberapa peristiwa pergaduhan kaum atau dalam bahasa Inggeris sering disebut racial riots.

Peristiwa-peristiwa hitam tersebut perlulah diingat sebagai satu pengajaran agar jangan sampai berulang lagi hingga mengorbankan nyawa yang tidak berdosa dan merosakkan kerukunan hidup bernegara.

Demi mengingatkan diri untuk menghindarkan kemudaratan peristiwa-peristiwa hitam itu, maka tidaklah salah untuk menyebut atau mengingat kembali Peristiwa Berdarah 13 Mei itu seperti yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang dalam Dewan Undang Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim beberapa minggu yang lalu. Malah peristiwa-peristiwa lain yang sejenis dengan 13 Mei itu pun tidak semestinya dilupakan.

Guan Eng jangan sampai lupa bahawa di Pulau Pinang sendiri, pada bulan November 1967 pergaduhan kaum telah meragut nyawa tak kurang daripada 23 orang. Tiga tahun sebelum itu pada tahun 1964, di Singapura (semasa negara pulau itu masih merupakan sebahagian daripada Malaysia), telah berlaku dua pergaduhan kaum masing-masing telah meragut nyawa 22 orang dalam satu peristiwa dan lapan orang lagi dalam satu peristiwa yang lain.

Dan lebih dahsyat daripada apa yang berlaku semasa "Tentera Bintang Tiga" bermaharajalela, pergaduhan kaum merebak di banyak tempat dan melibatkan bilangan (dan mangsa keganasan) yang jauh lebih ramai daripada apa yang berlaku pada 13 Mei 1969. Perbuatan "buas" dan "ganas" yang sangat sadistic sifatnya semasa "Tentera Bintang Tiga" berkuasa itu, sampai sekarang masih menjadi ingatan dendam dan kenangan pahit dan pedih oleh sebahagian anak atau cucu mereka yang menjadi mangsa.

Saya sendiri semasa remaja kira-kira 40 tahun yang lalu sering mendengar cerita kebangkitan pendekar-pendekar Melayu menentang kekejaman Tentera Bintang Tiga itu terutama di Batu Pahat, Johor (terkenal dengan Kiyai Salleh sebagai tokoh utamanya). Begitu juga berlaku penentangan di Sungai Manik, Perak.

Kemudian sepanjang minggu lalu daripada perbualan dengan beberapa orang tokoh, saya dimaklumkan beberapa nama tempat lain seperti Bekor (dekat Kuala Kangsar, Perak), Batu Kikir (Negeri Sembilan) dan banyak tempat lain yang ada kaitannya dengan pergaduhan kaum di zaman "Bintang Tiga" itu.

Jadi jelaslah bahawa pergaduhan kaum di zaman Bintang Tiga itu berlaku di banyak tempat dan dengan demikian tentu banyak individu yang terlibat. Kerana itulah agaknya maka ada yang menyifatkannya sebagai lebih dahsyat daripada "Peristiwa 13 Mei"

Malah seorang ahli sejarah yang pernah menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia(USM), Pulau Pinang, iaitu Dr. Cheah Boon Kheng sampai mengambil kesimpulan: "Bila dibandingkan bilangan nyawa yang terkorban dan keluasan kawasan yang terlibat sepanjang masa peralihan (interregnum) antara penyerahan Jepun dengan kedatangan kembali tentera British tersebut, pergaduhan kaum Mei 1969 itu boleh dianggap sebagai satu peristiwa yang pudar signifikannya. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Dr. Cheah yang berjudul Read Star Over Malaya.

Perbandingan yang dibuat oleh ahli sejarah tersebut menyebabkan kita mengulang kembali satu soalan yang berulang-ulang kali ditanyakan sepanjang dua minggu yang lalu: "Kenapakah Setiausaha Agung DAP yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang itu begitu mudah melenting dan melatah bila mendengar ungkapan 13 Mei itu?"

Guan Eng seperti hendak mengharamkan ungkapan "13 Mei" untuk disebut dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Seakan-akan ada yang hendak disembunyikannya (atau ada perkara dan peristiwa yang dia tidak mahu orang ramai mengingat) mengenai peristiwa 13 Mei itu.

Tentu dia ingin menyembunyikan (dia mahu orang ramai melupakan) bahawa sebab utama yang mencetuskan Peristiwa Berdarah 13 Mei 69 ialah provokasi penyokong-penyokong DAP dan Parti Gerakan yang sedang "mabuk kemenangan", menari dan berarak sepanjang jalan raya merayakan kemenangan mereka dalam pilihan raya umum 1969 itu.

Satu perkara lagi yang barangkali Lim mahu supaya orang ramai lupa ialah bahawa berikutan dengan kerusuhan 13 Mei 1969 itu, pihak berkuasa telah mendapati bapaknya, Lim Kit Siang sebagai salah seorang pemimpin DAP pada masa itu, terlibat dalam ucapan-ucapan menghasut dan mengapi-apikan semangat perkauman. Kerana itu telah ditahan di bawah Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri sehingga bulan Oktober 1970.

Akhirulkalam, saya catatkan kembali faktor-faktor yang mencetuskan kerusuhan kaum: keceluparan mulut, kesongsangan perbuatan dan kebiadapan hidup bermasyarakat serta provokasi kasar dan halus yang menyakitkan hati. Semuanya mestilah dijauhi.

18 November 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

APABILA Pas menyatakan kesediaan parti itu untuk mengetuai pakatan pembangkang, ramai yang melihatnya sebagai hasrat yang terlalu besar dan bercita-cita tinggi. Jika dilihat daripada kedudukan parti itu di Parlimen misalnya, Pas hanya memiliki 23 kerusi berbanding DAP (29 kerusi) dan PKR (24 kerusi).

Jumlah kerusi yang paling sedikit itu sudah cukup untuk menyedarkan Pas bahawa parti tersebut sememangnya tidak mempunyai harapan untuk mengetuai pakatan pembangkang.

Lebih daripada itu, jumlah kerusi Pas yang kecil itu juga menyebabkan parti tersebut tidak banyak mempengaruhi dasar-dasar dalam pakatan pembangkang. Maka di sini timbul persoalan sejauh mana perjuangan Pas dapat diterjemahkan sedangkan parti itu sendiri masih tercari-cari kedudukan dalam pakatan pembangkang.

Kerana itu cita-cita Pas untuk menerajui kepimpinan pakatan pembangkang sebenarnya tidak ubah seperti bermimpi di siang hari. Bukan mahu menafikan kemampuan Pas dalam impian itu kerana parti berkenaan sememangnya mempunyai barisan kepimpinan yang hebat dan berpengalaman.

Meskipun ada kepincangan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pas ketika ini seperti di Kelantan dan Kedah, namun negeri itu lebih baik berbanding negeri yang diperintah oleh parti pembangkang lain. Malah jika penyokong parti pembangkang diasingkan, Pas sebenarnya mempunyai sokongan di peringkat akar umbi yang lebih besar dan teguh berbanding DAP dan PKR.

Lihat sahaja pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini. Jentera kempen Pas yang paling ke hadapan berbanding jentera parti pembangkang lain. Mereka dilihat lebih bersungguh-sungguh dan bijak dalam menggerakkan strategi memancing undi.

Dari segi kepimpinan dalam pakatan pembangkang pula, tiada wakil rakyat Pas yang keluar atau melompat parti selepas pilihan raya umum 2008 kecuali Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Pas.

Ini menunjukkan Pas merupakan parti yang mempunyai pengalaman dan kepimpinan yang mantap sebagai sebuah organisasi politik. Malangnya, hakikat itu tidak kelihatan dalam pakatan pembangkang.

Pas seolah-olah tenggelam, dipinggirkan dan seperti tidak mempunyai peranan serta kepentingan langsung. Pas juga tidak boleh menafikan mengenai isu pakatan rahsia yang didakwa wujud antara PKR dan DAP sebelum ini.

Biar bagaimana sekali pun pakatan rahsia itu cuba dijernihkan, ia sudah cukup menjelaskan di mana kedudukan sebenar Pas dalam hal tersebut. Seharusnya perkara ini difikirkan secara mendalam oleh ahli Pas dan masih belum terlambat untuk mereka menilai semula keberadaan mereka dalam pakatan pembangkang.

Pas mungkin boleh melatah jika perkara ini dinilai oleh orang luar yang mungkin tidak arif dengan perjalanan parti itu. Tetapi apabila Datuk Nakhaei Ahmad sendiri menyebut parti itu hanya menjadi 'pak turut' kepada DAP dan PKR, ia adalah satu hakikat yang sukar untuk dinafikan.

Nakhaie bukanlah calang-calang pemimpin ketika berada di dalam Pas dahulu. Beliau merupakan bekas Naib Presiden Pas iaitu antara individu paling kanan dalam hierarki parti. Dengan kedudukan itu, beliau pastinya cukup arif dengan apa yang berlaku di dalam Pas termasuk sejauh mana parti itu mampu mempengaruhi PKR dan DAP.

Pas dalam cita-cita untuk menerajui pakatan pembangkang juga tidak mungkin akan mendapat laluan yang mudah daripada DAP. Kedua-dua parti itu memang boleh berada di dalam pakatan yang sama. Tetapi prinsip asas dan ideologi yang diperjuangkan kedua-dua parti itu terlalu jauh berbeza.

Perkara ini turut ditegaskan oleh pemerhati politik tempatan, iaitu pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali. Menurut beliau, DAP akan cepat melatah sekiranya sebarang idea berkaitan dengan cita-cita mendaulatkan agama Islam dilontarkan.

Lebih-lebih lagi mereka juga bersaing dengan Gerakan dan MCA untuk menentang sebarang proses Islamisasi di negara ini bagi meraih sokongan bukan Islam. Sedangkan prinsip utama perjuangan Pas pula ialah ke arah sebuah negara Islam.

Pas pastinya masih ingat bagaimana lantangnya DAP menentang agenda negara Islam parti itu dan mendesak supaya ia digugurkan. Malah, DAP juga melihat adalah sesuatu yang janggal bagi Pas meneruskan agenda negara Islamnya dan dalam masa yang sama tetap bekerjasama dengan pakatan pembangkang.


Seharusnya, mesej-mesej penolakan yang disampaikan oleh DAP itu sudah cukup untuk membuatkan Pas menilai semula keberadaan mereka dalam pakatan pembangkang.

''Perlu difahami juga, titik persefahaman yang dimiliki Pas dan DAP ialah peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu, berani saya mengandaikan bahawa jangka hayat hubungan ini juga banyak bergantung kepada umur politik Anwar," kata Che Hamdan.

Dalam keadaan politik pakatan pembangkang yang tidak menentu ketika ini, Pas tidak seharusnya menggadai maruah parti itu untuk menjadi ketua pembangkang. Tindakan itu ibarat sengaja menempah nama buruk atau memikul biawak hidup.

Pas tentu sedar bagaimana kroniknya kepincangan yang berlaku dalam PKR serta isu-isu yang menunjukkan kelemahan DAP terutamanya di Pulau Pinang ketika ini. Pas tidak boleh menolak daripada dipersoalkan mengenai perkara ini sekiranya memilih untuk mengetuai pakatan pembangkang.

Dalam masa yang sama, nama baik dan maruah Pas juga akan terjejas dengan isu-isu yang berlaku di dalam DAP dan PKR. Apa yang seharusnya menjadi keutamaan Pas ketika ini ialah memberi penekanan dari aspek tarbiyah kepada ahli-ahlinya.

Ini meliputi proses pemikiran semula perjuangan parti tersebut. Sebagai parti politik yang membela agama Islam, perkara paling penting perlu diberi penekanan ialah setakat mana mereka bakal memberi sumbangan dalam mendaulatkan agama Islam dengan berada di dalam PR atau sebaliknya.

Che Hamdan menjelaskan, untuk Pas menyertai Barisan Nasional buat masa sekarang agak tipis kerana komitmen parti itu dalam pakatan pembangkang sangat kuat. Namun, ahli-ahli dan penyokong Pas perlu lebih berani dalam memberi tekanan kepada PKR dan DAP agar kedua-dua parti itu sentiasa menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

''Mereka juga perlu sentiasa mengingatkan pemimpin Pas agar tidak hanyut dalam penawaran kuasa politik dalam pakatan pembangkang," tegas Che Hamdan.