03 Disember 2010

Pas dan isu Timbalan Perdana Menteri

HAKIKAT yang tidak boleh ditolak oleh catatan sejarah politik negara adalah Pas merupakan sebuah parti serpihan UMNO yang dilahirkan oleh mereka yang berpendidikan agama, terutama ahli yang menerima pendidikan di Asia Barat.

Parti itu lahir hasil daripada pertemuan pertama alim ulama pada 24 November 1951 iaitu pertemuan yang diinisiatifkan oleh Mudir Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim. Penubuhannya bertujuan membangkang dan membetulkan UMNO dari sudut keagamaan.

Haji Ahmad Badawi yang merupakan pengasas Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah adalah ayahanda kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah merupakan antara pelajar madrasah berkenaan dan Perdana Menteri Malaysia pertama yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengajian Islam.

Selain itu, matlamat Pas diasaskan adalah untuk menjadi pembangkang dan menegur UMNO dari sudut keislaman, mengekalkan kuasa Melayu dan menegaskan pemimpin negara sebagai pemerintah utama negara mestilah beragama Islam. Itu adalah antara matlamat Pas kerana secara umumnya setiap orang berbangsa Melayu di negara ini adalah beragama Islam.

Tetapi apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh paling berpengaruh dan paling dipakai buah fikirannya oleh Pas pada waktu ini boleh bersetuju dengan janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang dan berjaya menubuhkan kerajaan, ia secara terang lagi bersuluh bahawa janji itu jelas bercanggah dengan matlamat, tujuan dan fungsi Pas ditubuhkan.

Malah pada perhatian saya, Pas pada era 'Nikazizsme' telah menjadikan Nik Aziz bersikap umpama tikus membaiki labu dan tupai membaiki buah manggis, menjadikan Pas semakin kehilangan identiti sebagai sebuah parti politik yang konon perjuangannya berteraskan Islam.

Seandainya majoriti rakyat, terutama majoriti pendukung dan penyokong Pas boleh terpedaya dengan pendekatan berpolitik gaya Nik Aziz pada era Pas dibayangi sindrom dan wabak Nikazizsme ini, maka negara ini pasti akan mengalami bencana besar.

Kalangan bukan Melayu bukan sahaja akan terus menguasai bidang ekonomi tetapi juga akan menguasai politik dan juga kuasa pemerintahan dan pentadbiran negara sebagaimana pada waktu ini sedang berlaku di Pulau Pinang.

Sehubungan itu, rakyat tidak boleh terikut-ikut dengan pendekatan berpolitik PKR dan Pas yang cuba bermain api untuk membakar peluang dan keistimewaan Melayu sebagai bangsa pertuanan negara ini sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Janganlah bak seperti kata pepatah, 'sudah terhantuk baru tengadah'. Ini kerana apabila nasi sudah menjadi bubur dan menangis keluar air mata darah sekali pun, bubur tidak akan bertukar menjadi nasi kembali.

Biarlah pemimpin, pendukung dan penyokong PKR dan Pas terjun dengan labu-labunya. Kita rakyat jelata jangan ikut terjun sama. Sayangilah negara dan bangsa kita, di samping pada waktu yang sama kita menghormati dan mengekalkan persefahaman serta keharmonian dengan kaum-kaum lain sebagai rakan senegara tanpa perlu mengorbankan ketuanan, semata-mata kerana mahu menunjukkan sifat dan sikap setiakawan yang melampau.

Ingin saya tegaskan iaitu buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali.

RAMLI ABDUL HALIM

Kota Bharu, Kelantan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

AWANG sudah menjangkakan cadangan Anwar Ibrahim mengenai pelantikan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-13 menyebabkan pendirian pemimpin Pas jadi tidak keruan.

Lihatlah kenyataan beberapa pemimpin tertinggi Pas yang bertentangan antara satu sama lain.

Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata tidak tahu-menahu. Timbalannya, Nasharudin Mat Isa tegaskan tidak pernah membincangkan pelantikan Penasihat DAP itu.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat kata beliau tidak mempunyai masalah dengan pelantikan Kit Siang ke jawatan itu.

Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib tidak setuju, tapi timbalannya, Ahmad Yaakob pula bersetuju.

Jadi cadangan Penasihat PKR itu sudah hampir mencairkan impian Pas untuk tegakkan negara Islam.

Bagaimana Pas hendak berjuang tegakkan Islam kalau orang yang duduk kerusi PM dan TPM diragui keikhlasan dan semangat menjulang undang-undang Islam.

Awang nasihatkan kepada ahli dan penyokong Pas jangan percaya ‘gelembong’ Anwar itu. Percayalah pengumuman itu satu lagi retorik daripada Anwar.

Awang lihat ini cara Anwar mengalih perhatian daripada kemelut dalaman PKR.

Awang – Menung fikirkan Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan