13 Disember 2010

Kebangkitan Melayu - Soalnya bila?

Oleh Prof. Datuk Dr. Zainal Kling

PILIHAN Raya Umum Ke-12 (PRU12) telah mencetus tanggapan baru terhadap landskap politik negara. Ada penulis yang menyebut hasil PRU12 itu adalah jauh lebih radikal daripada peristiwa 13 Mei 1969, tetapi tidak mendatangkan ‘peristiwa’ buruk kerana beberapa sebab.

Satu daripadanya ialah ketenteraman dan kawalan masyarakat. Ketenteraman itu adalah bukti kejayaan paling agung Dasar Ekonomi Melayu ( DEB), yang mendamaikan perasaan dan hati bumiputera. Namun tidak ramai yang menilai hal itu.

Dalam pada itu, hasil PRU12 telah mendedahkan suatu fenomena baru – keghairahan pembangkang – DAP, PKR dan PAS – seperti juga perakan DAP sehari sebelum 13 Mei 1969, untuk segera ke Putrajaya dan merobah pencapaian DEB serta struktur politik dan sosial yang sedia mantap.

Lebih buruk lagi telah berlaku persepsi radikal bahawa terdapat keinginan yang amat hebat di kalangan ‘pakatan’ untuk merombak Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan asasinya yang berkaitan dengan negara Malaysia sebagai negara Melayu/Bumiputera, raja dan kerajaan serta peruntukan lain-lain.

Apa lagi pakatan pembangkang adalah golongan ‘sosialis’ (meskipun ketinggalan zaman) yang menuntut ‘kesamaan hak’ walaupun terdapat ketidaksamaan yang amat mendalam dalam ekonomi dan pengagihan kekayaan negara di pihak Bumiputera, yang tidak pernah disuarakan apa lagi diperjuangkan oleh pakatan itu.

Tuduhan rasuah dan nepotisme serta incompetence pakatan terhadap BN ternyata tidak lagi bermakna kerana setelah dua setengah tahun pakatan memerintah di empat buah negeri, tidak pun menunjukkan perubahan daripada kelemahan BN yang terdahulu.

Malah pakatan ternyata lebih buruk dan kecoh serta kacau-bilau baik pada dalaman mahupun pada luaran. Mereka lebih banyak menyimpan keburukan yang sering pecah dan melimpahkan keluar rahsia pergolakan yang jauh lebih busuk dan penuh fitnah.

Sikap intolerance terhadap akhbar dan tindakan autocratic serta nepotisme para pemimpin mereka telah menyebabkan sekian ramai anggota dan ketua yang lari keluar parti. Malah penyelewengan dan pelanggaran dari prisnip al-Quran oleh pemimpin Pas terhadap pelbagai ayat at-Taubah dan al-Hujurat adalah amat memualkan masyarakat Muslim yang kini telah jeran dengan fungsi ‘kaldai’ mereka untuk tunggangan DAP.

Persepsi buruk ini sudah menerjah mendalam jauh di dalam psike masyarakat Bumiputera kini, terutama Melayu. Terjahan itu telah mencetus dan membentuk tindak balas yang jauh lebih hebat dari zaman ‘Malayan Union’.

Malayan Union hanya sempat mengumpul 35 pertubuhan Melayu untuk menentang penjajahan British selepas Perang Dunia Kedua dan menubuhkan UMNO.

Natijah PRU12 sudah mengumpul jauh lebih banyak pertubuhan dan perhimpunan yang jauh lebih besar serta pelbagai dalam barisan pertubuhan Melayu. Mereka telah membentuk pelbagai gerakan sosio-politik yang dikenal sebagai ‘majlis muafakat’, ‘barisan bertindak’, ‘majlis perundingan’, ‘perkasa’, ‘geram’, ‘gagasan’, ‘prowaris’ dan sebagainya.

Sudah muncul sikap radikal dan gerakan radikal yang jikalau berlaku terus akan menjadi gerakan politik ‘kanan’ (right group) seperti yang banyak tumbuh dalam EU sekarang kerana anti-Islam dan Eurobia. Contoh terkenal ialah gerakan Geert Wilders di Belanda.

Gagasan radikal bermaksud ‘political and social movements and ideologies that aim at fundamental change in the structure of society--has been a persistent feature of U.S. history. Radical movements have challenged Americans to live up to their professed ideals and have developed penetrating critiques of social and economic inequality.”

Sedang berlaku ketidakpuasan hati yang amat mendalam terhadap pertubuhan politik yang nyata telah melepaskan tugas dan obligesi mereka terhadap ‘bangsa Melayu’ meskipun nama dan perlembagaan mereka ialah sebagai pertubuhan politik Melayu atau Islam yang akan mempertahankan hak Melayu sebagai Islam.

Suara-suara sumbang seperti Nazri Aziz adalah sama dengan tindakan Zaid Ibrahim atau pun Anwar Ibrahim yang melihat perjuangan membela Melayu sebagai politik 60-an dan sekali gus ketinggalan zaman.

Azmin Ali telah membuat deklarasi untuk menentang habis-habisan perjuangan Perkasa yang sekali gus adalah pernyataan penentangan terhadap perjuangan Melayu. Politik Melayu/ Bumiputera itu adalah intisari undang-undang tubuh negara Malaysia, maka perjuangan mendukungnya tidak akan berubah kerana itu adalah Perlembagaan negara. Apalagi perkara-perkara asasi dan fundamental dalam Perlembagaan itu berkait lansung dengan seluruh kewujudan negara Malaysia sebagai pewaris Persekutuan Negeri-Negeri Melayu.

Kerana parti politik Melayu/Islam tidak dapat mematahkan dan mangatasai hujah DAP, MCA dan Gerakan dan pertubuhan Cina yang menuduh Melayu/Bumiputera sebagai ‘racist’ meskipun DAP itu dan seluruh perjuangan parti politik Cina jauh lebih rasis dan menyorokkan sikap rasis mereka di sebalik muslihat demokrasi, hak asasi serta sosialisme maka parti politik Melayu/Islam telah berpecah dan bertelagah.

Hal inilah yang diperingatkan sekeras-kerasnya oleh al-Quran dalam al-Hujurat, ayat-ayat 9 dan 10.

Malah kita lihat betapa rasisme Cina itu melarat hingga ke tahap antarabangsa kerana terdapat sikap membela bangsa Cina oleh negara China di mana saja mereka berada dengan prinsip ‘jus sanguinis’ yang selama-lama dipegang oleh mereka.

Lebih dari itu, di seluruh dunia mereka kekal dengan kecinaan walaupun dalam ‘China Town’ demi mempertahankan kecinaan itu. Hal ini yang mahu dipertahankan di Malaysia oleh Dong Zong dengan gagasan mempertahankan the basic character of Chinese school pada hal mereka adalah rakyat Malaysia.

Di India juga begitu. Setiap tahun terdapat perhimpunan sedunia India seberang laut dan pertandingan ‘Ratu Cantik India Global’. Apakah ini bukan rasisme yang nyata pada tahap antarabangsa.

Hal inilah yang mesti menjadi perhatian semua warga negara Malaysia. Bahawa gerakan pertubuhan Melayu yang deras menuju ke arah radikalisme itu selaras dengan kebangkitan politik kanan di seluruh dunia dan juga reaksi tegas masyarakat Melayu terhadap politik rasisme bukan Melayu yang disembunyikan di sebalik seruan menentang rasisme.

Kebangkitan pelbagai kelompok etnik antarabangsa adalah fenomena retribalization yang telah lama berlaku sejak jatuhnya Soviet Union dan komunisme. Namun di Malaysia fenomena itu adalah pertahanan bangsa Melayu terhadap penafian kesinambungan dalam sejarah segala hak dan kedaulatan mereka sebagai pewaris sah negara Malaysia dan semua warganegaranya yang pelbagai.

Semua pihak mesti mendidik diri dan keturunan mereka bahawa tiada bangsa di dunia akan melepaskan warisan kenegaraan mereka kepada siapa pun. Inilah territorial imperative dan menjadi iktibar dari sejarah manusia sepanjang zaman.

Prof. Datuk Dr. Zainal Kling

ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Gapena

Tiada ulasan:

Catat Ulasan