03 Januari 2011

Berhati-hati dengan agenda Malaysiakini dan Malaysia Insider

Oleh : Mohamad Taufik Abu Hassan

SAYA sememangnya tidak terkejut apabila mendapati dari semasa ke semasa, dua portal pro pembangkang iaitu Malaysiakini dan The Malaysia Insider terus menyiarkan kenyataan pihak-pihak yang dilihat cuba menggugat institusi Melayu dan umat Islam.

Kedua-dua portal ini akan memperalatkan siapa sahaja yang bersedia menjadi kuda tunggangan mereka untuk membuat kenyataan-kenyataan yang cenderung ke arah tersebut.

'Permainan' yang cuba dicorakkan oleh portal-portal itu sebenarnya cukup berbahaya di kala mereka menyiarkan kenyataan yang menuduh sesetengah media arus perdana bersikap perkauman.

Tindakan mereka berbuat demikian sepatutnya memberi peringatan kepada orang Melayu dan umat Islam terhadap agenda tersembunyi media seumpama itu.

Laporan-laporan yang disiarkan oleh Malaysiakini dan Malaysia Insider dilihat lebih bersifat perkauman serta sentiasa sahaja membuka ruang bagi menyerang institusi Melayu dan umat Islam secara halus.

Walaupun agenda mereka sudah ketara namun sehingga kini tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa, malah turut menjadi tanda tanya kepada kita ialah apa kesudahannya hasil siasatan berhubung siapa yang membiayai kedua-dua portal ini.

Kita mendengar macam-macam dakwaan tetapi sampai sekarang tiada yang pasti. Semua ini hakikatnya bukan sahaja akan menimbulkan spekulasi tetapi juga menyebabkan kedua-dua portal itu berasa 'besar kepala'.

Oleh itu mereka akan meneruskan agenda menggugat orang Melayu dan umat Islam tanpa halangan. 'Perjuangan' mereka menjadi bertambah mudah apabila ada di kalangan pemimpin Melayu sendiri sanggup diperalatkan.

Pemimpin Melayu seumpama ini termasuklah juga yang ada dalam kesatuan-kesatuan tertentu berasa puas apabila dapat menghentam institusi Melayu melalui kedua-dua portal berkenaan.

Walaupun yang akhirnya rugi adalah orang Melayu dan umat Islam namun semua ini tidak ada dalam pemikiran pemimpin tersebut.

Kadang kala saya melihat kenyataan yang dibuat hanya berlandaskan kepada nafsu amarah sahaja dan ini pastinya menggembirakan pengendali kedua-dua portal berkenaan.

Kita perlu faham berdasarkan kajian yang saya lakukan, Malaysiakini dan Malaysia Insider tidak pernah ikhlas dalam memperjuangkan isu melibatkan orang Melayu dan umat Islam. Jika tidak percaya, buatlah kajian dengan melihat kecenderungan artikel dan laporannya di dalam arkib kedua-dua portal itu.

Mereka hanya ingin menangguk di air keruh bagi membolehkan matlamat melemahkan orang Melayu di negara ini tercapai. Cara mudah yang dilakukan ialah memecah belahkan sesama orang Melayu dengan menyiarkan kenyataan-kenyataan yang menyerang institusi Melayu dan umat Islam.

Sebab itulah, saya ingin menasihati orang Melayu supaya berhati-hati dengan kedua-dua portal ini. Dalam situasi politik sekarang dan dengan kedudukan orang Melayu yang berpecah-belah, maka anasir seperti Malaysiakini dan Malaysia Insider ini harus diawasi.

Tidak keterlaluan kalau saya sifatkan mereka ini bagaikan musuh dalam selimut dan gunting dalam lipatan. Mereka 'lahir' entah dari mana tetapi mempunyai 'kekuatan' yang jika dibiarkan boleh menggugat masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Kepada pemimpin Melayu yang bersedia menjadi alat kepada kedua-dua portal itu, berhentilah menjadi pengkhianat kepada bangsa sendiri.

1 ulasan:

  1. Kepada pengkhianat-pengkhianat tersebut, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya. Pada masa itu, kita tidak akan mampu berbuat apa-apa lagi bila perlembagaan persekutuan dikendurikan oleh mereka dan kita menjadi marginal group di tanah air kita sendiri.

    BalasPadam