28 Ogos 2011

Mat Sabu pendokong komunis


KUCHING 27 Ogos – Wira negara, Pegawai Waran I (B) Temenggong Kanang Langkau melabelkan Mohamad Sabu sebagai pendokong komunis yang tidak layak mengambil bahagian dalam politik demokrasi di negara ini apabila mengangkat pengganas komunis sebagai hero tragedi Bukit Kepong.

Beliau yang menitiskan air mata apabila membaca laporan mengenai kenyataan prokomunis Timbalan Presiden Pas itu berkata, Mohamad Sabu juga adalah watak penghasut yang sewajarnya dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kanang yang tidak dapat mengawal perasaan apabila membaca laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini, menegaskan pemimpin pembangkang itu tidak layak menjadi rakyat Malaysia kerana tergamak membuat kenyataan sedemikian menjelang sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan negara Rabu ini.

“Orang ini langsung tidak berguna, beginikah sikap bekas wakil rakyat? Kirim salam pada dia dan beritahu kalau mahu sokong komunis tidak perlulah lagi bertanding dalam pilihan raya.

“Dia simpati dengan komunis, maknanya dia juga komunis, selayaknya dibuang daerah,” katanya dalam nada terketar-ketar menahan marah kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Kanang, 67, ialah satu-satunya penerima dua pingat keperwiraan yang masih hidup iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).

Dua pingat berkenaan dianugerahkan berikutan pengorbanannya menentang pengganas komunis di Perak sekitar 1980 sehingga hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

Mengulas lanjut, Kanang mengingatkan rakyat yang cintakan keamanan dan tanah air supaya tidak memberikan sokongan kepada Mohamad Sabu serta parti yang diwakili atau mana-mana parti yang bersekutu dengannya.

Katanya, gerak cara politik yang ditunjukkan Mohamad Sabu memalukan dan merupakan satu tragedi kepada rakyat Malaysia apabila sanggup melakukan apa sahaja demi meraih undi walaupun maruah dipijak-pijak.

“Saya terima kewujudan pembangkang dengan hati terbuka tetapi ini bukan cara berpolitik yang betul sampai sanggup jatuhkan moral rakyat, kalau rakyat tidak sedar saya tidak tahulah.

“Pastinya orang ini tidak pernah merasa bagaimanakah perasaan apabila parang diletakkan pada tengkuk mereka,” tegasnya.

22 Mei 2011

DAP rancang letak calon Melayu untuk jadi MB

ALOR GAJAH: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan rancangan DAP untuk meletakkan calon Melayu bertanding mewakili parti tersebut di beberapa negeri pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Beliau berkata, DAP kini sedang mengenal pasti orang Melayu yang sesuai untuk dijadikan calon bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.
"Mereka telah mencari jalan supaya calon (Melayu) itu dapat diterima oleh pengundi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, berkata DAP merancang meletakkan calon orang Melayu di Perak untuk menguasai negeri itu dengan menteri besarnya terdiri daripada calon DAP.

"Ini kerana perlembagaan negeri Perak tidak mengizinkan orang bukan Melayu menjadi Menteri Besar, oleh itu DAP merancang meletakkan calon Melayu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri supaya akhirnya Menteri Besar itu dari DAP," katanya.

Beliau berkata, di negeri lain, parti pembangkang itu merancang meletakkan calon Melayu di kawasan yang majoriti pengundi Melayu dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon bukan Melayu.

Katanya, strategi terancang itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana DAP telah memulakan blog dalam bahasa Melayu berbanding selama ini hanya menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
"Kita menghidu rancangan DAP ini tanpa disedari oleh PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat). Sebab itu saya ingin mengingatkan PAS dan PKR jangan jadi kuda tunggangan kepada DAP," katanya.

Ahmad Zahid mengingatkan UMNO dan parti komponen BN yang lain supaya berhati-hati dengan taktik secara berstruktur dan sistematik yang dilakukan oleh DAP itu.

"Kita jangan berada dalam zon yang selesa dengan tindakan yang dilakukan DAP, saya ingatkan orang Melayu jangan jadi tali barut kepada DAP, sama ada mereka menjadi calon secara langsung atau rakan yang bersekongkol di bawah pakatan pembangkang," katanya. - BERNAMA

26 Mac 2011

Videos Seks : Nik Aziz dicabar keluar fatwa.

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA



KUALA LUMPUR 25 Mac – Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengeluarkan ‘fatwa’ tentang apakah hukumnya pemimpin pembangkang yang didakwa berzina dengan pelacur seperti yang didedahkan melalui rakaman video seks Isnin lalu.

Timbalan Yang Dipertua JMM, Omar Salleh berkata, ‘fatwa’ itu penting kerana Nik Abdul Aziz hanya menyalahkan pihak yang menyebarkan video tersebut tetapi, tidak langsung menyentuh mengenai dosa penzina dalam video itu.

“JMM berharap Nik Abdul Aziz tidak ketandusan ‘fatwa’ kerana sehingga kini masih belum ada sebarang hujah agama digunakan untuk mengutuk perlakuan zina ini.

“Sebaliknya, beliau menyifatkan pihak yang menyebarkan rakaman video seks itu sebagai bodoh dan tidak bermoral. Bagaimana pula dengan penzina? Adakah mereka bermoral?” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Nik Abdul Aziz yang dilihat cuba mempertahankan akhlak orang yang melakukan perbuatan zina di dalam rakaman itu.

Mengulas lanjut tindakan Menteri Besar Kelantan itu, Omar berkata, pendirian Mursyidul Am Pas tersebut bukanlah sesuatu yang pelik kerana percaya, Nik Abdul Aziz sanggup menghalalkan apa sahaja demi kepentingan politik meskipun sedar tindakannya itu akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini.

“JMM yakin Nik Abdul Aziz akan mempertahankan orang yang melakukan hubungan seks berkenaan dan pada masa yang sama akan mengkafirkan orang yang membongkarkan kegiatan tidak bermoral itu,” jelasnya.

13 Mac 2011

Kartun tsunami Berita Minggu Harian.

Oleh : Meja editorial MediaManjung!


Aku rasa terpanggil untuk menulis mengenai isu ini dikalangan rakyat Malaysia. Umum maklum dan begitu juga aku terasa simpati akan nasib yang menimpa negara Jepun dan rakyatnya terutama di wilayah Sendai. 

Ombak tsunami setinggi 10 meter selepas gegaran berskala richter 8.8 memusnahkan apa saja di laluannya. Rumah, bangunan tinggi, kereta sehinggakan kapal pun turut "dihanyutkan" ke tengah-tenggah bandar raya.

Berita Harian dalam edisi hari ahad 13 Mac 2011 menyiarkan karikatur seperti di atas. Sang Ultraman lari menyelamatkan diri sebelum "dimamah" ombak Tsunami. Isu ini menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan warga Malaysia. Baik di Twitter, Blog, Facebook ataupun sembang-sembang kedai mamak, semuanya menuding jari menyalahkan editorial Berita Harian kononnya tidak peka atas kesengsaraan rakyat Jepun menangani kejadian ini.

Di bawah aku petik komen dari sebuah blog.

|arieza| said...
apa ko rasa kalau time ramai keluarga ko mati, atok nenek makbpak adik bradik sedara mara ko mati dek bencana alam, org buat bahan jd kartun yg boleh tahan bodoh? org yg xde akal je suke. toksah main pd bangsa. kot ye pun engkau melayu, ko gerenti ko masuk syurga kalau perangai pun serupa kafir? fikir pada agama. ada agama suruh perlekehkan org yang mati?

Pada hemat aku tidak ada apa yang biadap mengenai karikatur Ultraman berkenaan. Ia tidak mempersendakan rakyat Jepun yang terkorban, ia juga tidak menjadikan bangsa Jepun sebagai bahan lawak spastik jauh sekali bahan suka-suka. Ada maksud tersirat yang perlu diselidiki dengan akal yang tajam dan rasional.

Mungkin sang komentar tidak  memahami maksud tersirat di sebalik karakter berkenaan. Beranggapan ianya bahan lawak yang tidak masuk akal dan kurang ajar.

Dalam sekali imbas aku dapat simpulkan apa yang ingin dimaksudkan oleh Zoy, sang pelukis.

Ultraman membawa maksud negara Jepun yang gagah perkasa baik dari segi ekonomi, pertahanan, budaya dan beberapa perkara lagi yang sama seperti watak adi-wira berkenaan yang mempunyai kekuatan dan segala macam kuasa sakti.


Akhirnya terpaksa mengalah akan tabii alam yang jauh lebih PERKASA berkali ganda dari dirinya.

Lihat saja Jepun hari ini, terpaksa meminta bantuan asing terutamanya PBB untuk kerja-kerja menyelamat. Ini termasuk pasukan bantuan SMART dari Malaysia. Isu selepas tsunami adalah ancaman radioktif dari reaktor nuklear  Fukushima Daiichi milik Tokyo Electric Power (Tepco). Sistem penyejuk reaktor berkenaan sudah tidak beroperasi sejak hari tragedi dan jika trend ini berterusan loji nuklear berkenaan boleh melebur seterusnya membebaskan debu-debu radioaktif ke sekitar kepulauan Jepun sebelum sampai ke semenanjung Korea dan seterusnya ke tanah besar China. Jika benar ramalan ini, sejarah Chernobyl di Ukraine berulang kembali!.

Seperti karikatur berkenaan, Jepun sebagai sebuah kuasa teknologi tinggi dunia terpaksa akur dan tunduk akan kuasa alam yang lebih hebat dari teknologi yang dimiliki. Sama seperti sang adi-wira Ultraman berlari dari tersenarai antara 80,000 jiwa yang terkorban atau hilang ditelan tsunami walaupun mempunyai kuasa yang boleh membelah raksaksa!.

 Ironinya, masih ada sang Melayu begitu lantang bersuara kononnya karikatur berkenaan mempersendakan Jepun dan mangsa tsunami. Tidak peka dan selektif.

Persoalannya, adakah Melayu itu peka dan mengambil berat perihal bangsanya di bumi sendiri yang kian di asak dari pelbagai sudut hari demi hari hanya kerana mempertahankan haknya yang tinggal sedikit itu?.

Dimana suara kerasnya?.

02 Februari 2011

Malaysia Tanah Pusaka Orang Melayu

Oleh : A.Kadir Jasin

MENGIKUT semantik semasa di kalangan sesetengah orang bukan Melayu dan segelintir orang Melayu sesat, tajuk di atas adalah rasis kerana sesiapa pun yang bercakap mempertahankan bangsa Melayu adalah seorang yang rasis.

Sebaliknya mempertahankan hak bangsa-bangsa lain di bumi yang sama adalah “hak”. Natijahnya, orang Melayu mempertahankan haknya dia dianggap rasis, tetapi apabila orang bukan Melayu melakukan yang sama ia dikatakan hak mereka.

Sentimen ini diulang sebut oleh bekas Perdana Menteri (Tun) Dr Mahathir Mohamad ketika berucap di wacana ilmu anjuran bersama Mubarak, Yayasan Perikatan dan Arkib Negara di ibu negara semalam.

Tetapi Dr Mahathir “memberanikan” diri mengulangi bahawa bumi ini adalah bumi Melayu. Melayu adalah tuan rumah. Melayu menentang Malayan Union. Melayu menuntut kemerdekaan dan Melayu bersetuju menerima kewarganegaraan kaum pendatang dari China dan India.

Menggunakan landasan jus soli, British berjaya memujuk orang Melayu menerima kewarganegaraan satu juta orang keturunan imigran yang lahir di Tanah Melayu apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957.

Tuan Rumah Terpaksa Berkongsi Rumah

Sekali gus mereka mendapat hak sebagai warganegara dan bagi orang Melayu, daripada “tuan rumah” di Tanah Melayu mereka terpaksa berkongsi rumah itu dengan orang Cina dan India.

Saya hadir wacana ilmu itu, tetapi ingin merujuk kepada laporan portal berita Malaysian Insider yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata, pemimpin negara yang terdahulu memberikan kewarganegaraan kepada orang Cina dan India kerana mereka menjangka orang Cina dan India akan menghormati kedaulatan Melayu.

Jadi adakah Dr Mahathir rasis dan sesiapa yang sependapat dengan beliau rasis apabila beliau mengulang tegas bahawa Malaysia dimiliki oleh orang Melayu dan sesiapa yang menjadi rakyat negara ini wajiblah menerima budaya dan bahasa Melayu sebagai budaya dan bahasa dominan?

Seperti saya tulis berulang kali, orang yang menafikan Melayu sebagai tuan rumah bumi Malaysia ini atau segelintir orang Melayu sendiri yang berkata mereka juga pendatang adalah buta sejarah atau hidup dalam penafian.

Lama sebelum kelompok cauvinis dan penentang sejarah ini mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu (termasuk Bumiputera lain) serta kedudukan mereka sebagai tuan rumah, para sejarawan, pengembara dan pelukis peta Barat sudah mengakui kewujudan Dunia Melayu dalam wilayah geografi (geographical area) yang mereka panggil “Malay Archipelago” (Kepulauan Melayu).

Lama sebelum itu, ahli geografi Greek, Claudius Ptolemy (c.90-168) memberi nama Golden Chersonese atau dalam bahasa Greek, Chersonesus Aurea, kepada Semenanjung Tanah Melayu. Dia memberi label itu kerana Semenanjung Tanah Melayu mempunyai reputasi sebagai sumber penting emas dunia.

Hakikatnya, emas (dan kemudian bijih timah) lah yang membawa ramai perantau Cina ke Tanah Melayu pada kurun ke-19 hingga pertengahan kurun ke-20. Emas masih dilombong di negara kita hingga ke hari ini.

Manakala orang India umumnya datang ke Tanah Melayu atas tajaan British dan agen-agennya untuk bekerja sebagai “coolie” di ladang-ladang kelapa, getah dan teh, orang Cina dibawa masuk oleh tauke-tauke lombong Cina atau datang sendiri untuk menanam gambir, lada dan sayur-sayuran serta berniaga kecil-kecilan.

(Demi mengelak daripada dituduh rasis dan tidak sensitif, saya ingin menjelaskan yang istilah coolie atau disebut juga cooley, kuli, quli dan koelie berasal daripada perkataan Urdu quli yang bererti pekerja harian atau pekerja bergaji hari.)

Yang dibawa oleh Inggeris adalah candu kerana mereka memonopoli perniagaan candu dan ramai imigran dari China menagih candu. British berperang dua kali dengan China untuk menguasai perdagangan candu (1839-42 dan 1856-60).

Antara bekas penagih candu terkenal dan berjaya di Tanah Melayu adalah Kuok Keng Kang, bapa kepada Raja Gula Robert Kuok Hock Nien. Keng Kang mengatasi penagihan candu apabila “dibawa” melancong ke Eropah oleh kawan-kawan Melayunya pada tahun 1928. Keng Kang menjadi lebih berjaya apabila diberikan kontrak oleh Inggeris untuk membekalkan makanan kepada 50,000 tawanan perang Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Kedai candu (opium den) dan kedai todi adalah antara perniagaan yang paling awal dilesenkan oleh British. Kedai candu dan penagihan candu sudah lama diharamkan, tetapi kedai todi ada lagi.

Saya membaca dalam akhbar bahawa kedai todi terakhir di Kuala Lumpur yang terletak di Brickfields akan ditutup kerana kehadirannya tidak cocok lagi dengan imej moden Brickfields sebagai “Little India” hasil ledakan minda Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.

Kesan Buruk Ekonomi Penjajah

Oleh kerana minat Inggeris di Tanah Melayu adalah ke atas kekayaan bumi dan bukan penaklukan mutakhir maka mereka memberikan “kebebasan” kepada orang Melayu untuk terus miskin dan pada masa yang sama membenarkan kaum imigran mengamalkan cara hidup mereka.

Selain candu dan todi, turut datang dengan kaum-kaum imigran adalah agama dan budaya mereka, termasuklah kasta bagi orang Hindu dan kongsi gelap bagi orang Cina.

Ekonomi dipecah-pecahkan. Melayu dikekalkan di luar bandar dengan ekonomi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang (subsistence economy), Cina dalam sektor perlombongan dan perniagaan manakala India perladangan dan perburuhan.

Sebahagian besar kesan pemisahan ekonomi dan sosial oleh penjajahan Inggeris, seperti Dr Mahathir tegaskan, masih wujud dan inilah yang perlu diatasi sebelum bangsa Malaysia yang sejati boleh diwujudkan.

Katanya, walaupun orang Melayu telah mencatat banyak kejayaan, namun jurang yang memisahkan mereka dengan orang keturunan imigran masih luas dan mungkin menjadi lebih luas jika dasar pembahagian kekayaan negara seperti yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru dihapuskan.

Dr Mahathir tidak melihat tindakan mewujudkan label akan membawa kebaikan kepada negara sekiranya tidak dijelaskan dan dibentuk dengan cara yang boleh difahami umum.

Menjawab pertanyaan mengenai 1Malaysia, Dr Mahathir berkata tinjauan rambang memberi gambaran bahawa kepada orang Melayu 1Malaysia bererti satu aliran sekolah. Jadi mereka mahu sekolah Cina dan Tamil dihapuskan. Kepada orang Cina dan India pula, kekalkan sekolah Cina dan Tamil, tapi hapuskan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Dr Mahathir berkata beliau pernah mengemukakan konsep dan aspirasi Bangsa Malaysia sewaktu memperkenalkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 di mana semua kaum meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan kaum masing-masing.

Dr Mahathir berkata, kalau kaum-kaum di Malaysia terus memperjuangkan hak masing-masing berdasarkan negara asal mereka, maka ini jelas membuktikan bahawa mereka mengaku mereka adalah pendatang.

Sekarang Adalah “Masa Depan”

Beliau mengingatkan orang Melayu, apa yang mereka lalui hari ini adalah “masa depan” yang diperjuangkan oleh orang Melayu sebelum merdeka.

Sama ada “masa depan” yang akan mendatang yang sedang dibahaskan sekarang akan lebih baik dari yang ada pada hari ini atau sebaliknya bergantung kepada kesepakatan orang Melayu dan pemimpin mereka.

Dr Mahathir membuat kesimpulan semasa orang Melayu lemah di segi politik dan ekonomi, mereka menjadi kuat hingga mampu melawan Malayan Union dan akhirnya mencapai kemerdekaan kerana mereka bersatu padu.

Hari ini, orang Melayu mungkin lebih kuat sedikit di segi ekonomi, tetapi mereka lemah di segi politik sehingga terpaksa bergantung kepada kaum-kaum minoriti kerana Melayu berpecah-belah, korup dan mudah diperkotak-katikkan. Penawar kepada maladi (penyakit) bangsa ini, kata Dr Mahathir, adalah perpaduan.

Perpecahan lemahkan bangsa Melayu, kata Dr Mahathir

Masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu Umno, PAS dan PKR menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.


"Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.

"Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita," katanya ketika berucap di wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai 'Bangsa Melayu dan Masa Depannya' di Memorial Tun Hussein Onn di ibunegara hari ini.

Wacana itu, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, yang bertindak sebagai moderator wacana.

Dr Mahathir berkata kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya PAS, sebagai parti serpihan Umno.

"Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang yang kecewa (daripada Umno) telah menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR," katanya.

"Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang perpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita," katanya.

Katanya ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan untuk membantu mereka.

"Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu 'identify' diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang 'tongkat', hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang," katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.

"Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah.

"Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku," kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri.

Dalam pada itu Dr Mahathir yakin Malaysia akan selamat daripada kekuasaan asing sekiranya semua rakyatnya benar-benar memahami dan menerima konsep 1Malaysia atau 1bangsa yang diuar-uarkan kerajaan selama ini.

Untuk itu, katanya, kaum-kaum lain di Malaysia harus melupakan kaitan mereka dengan negara asing, sebaliknya menerapkan keyakinan bahawa mereka merupakan rakyat negara ini.

"Bila kita kata kita adalah orang yang ada kaitan dengan sebuah negara asing, maka itu adalah pengakuan kita adalah kaum pendatang. Jadi kita harus
lupa negara mana kita datang. Jika ada yang masih anggap mereka datang dari negara lain, maka tidak akan dapat wujud satu bangsa Malaysia.

"Tetapi sehingga sekarang, tidak ada kesanggupan untuk mengakui mereka bangsa Malaysia...kita bukan mahu semua mengakui diri mereka sebagai Melayu tetapi sekurang-kurangnya sebagai warga Malaysia," katanya.

Menyentuh mengenai isu ketuanan Melayu, Dr Mahathir secara sinis berkata orang Melayu tidak perlu untuk terus mendakwa diri mereka sebagai 'Tuan' jika mereka sebenarnya hanya merupakan 'kuli' kepada orang lain.

Menurutnya kata-kata 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' perlu dinilai semula agar dapat ditentukan apakah generasi Melayu yang sebenarnya yang mahu dikekalkan.

"Kita harus tanya Melayu bagaimana yang kita tidak mahu hilang dari dunia ini...yang kita mahu ialah Melayu yang tidak hilang ialah Melayu yang gagah, kaya, ada ilmu, cekap dalam perniagaan, pengurusan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, menjawab kepada satu soalan mengenai bagaimana untuk menyatu-padukan orang Melayu yang sudah berpecah tiga, Dr Mahathir berkata:"Cara mudah, ketuk kepala (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat)(Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) (Penasihat PKR) kerana penyakit itu semua datang daripada mereka".

Beliau juga menyifatkan usaha menyatu-padukan orang-orang Melayu itu menemui jalan buntu kerana tidak adanya keinginan daripada kedua-dua pemimpin berkenaan untuk ke arah itu.

"Niat mereka hanya untuk mendapat tempat. Anwar dengan dasarnya untuk sampai ke Putrajaya dan Nik Aziz adalah seorang opportunist. Tidak ada niat mereka ini untuk berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara, itu yang susah hendak berbaik dengan mereka," katanya.

Dr Mahathir berkata dalam keadaan kepercayaan kepada Umno juga goyah, orang Melayu kini diletakkan dalam keadaan serba-salah untuk memilih parti yang boleh dipercayai, justeru menyifatkan kaum Melayu kini dalam "Malay Dilemma 2'.